Tempatan

Pembalakan Dan Tebang Hutan 100% Punca Banjir – Aktivis Alam Sekitar

KUALA LUMPUR: “Saya boleh katakan punca banjir ini 100% daripada penebangan hutan dan aktiviti pembalakan,” demikian hujah Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Shariffa Sabrina Syed Akil dalam The Malaysian Insight.

Shariffa yang juga aktivis alam sekitar mengeluarkan kenyataan demikian susulan keadaan banjir besar yang berlaku terutama di Pahang pada tahun ini yang menyaksikan ribuan penduduk terpaksa dipindah keluar daripada kediaman masing-masing.

Ujarnya, Kedah dan Kelantan telah lama membiarkan kawasan hutan mereka dimusnahkan manakala rakaman dari udara di Pahang turut menunjukkan kawasan hutan diteroka untuk pembangunan, terutamanya di Maran dan Raub, dua kawasan yang teruk dilanda banjir.

Justeru, Presiden PEKA itu menggesa kerajaan untuk segera melucutkan kuasa kerajaan negeri dengan mengkaji dan meminda Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhutanan Negara 1984 bagi membolehkan kerajaan Persekutuan mengambil alih peranan ini.

“Selagi kita tidak meminda Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhutanan Negara 1984, tidak mungkin kita dapat selamatkan hutan.” 

“Di bawah Perlembagaan Malaysia, pengurusan hutan jatuh di bawah bidang kuasa negeri tetapi ia sepatutnya ditukar bawah kerajaan Persekutuan.”

Tambahnya, melengahkan perkara ini hanya membawa kepada derita generasi sekarang dan akan datang terutama mereka yang terkesan dengan banjir.

“Situasi ini boleh menjadi makin buruk setiap tahun sekiranya kita tidak menghalang aktiviti pembalakan.”

“Akhirnya siapa yang akan menderita? Semua penduduk kampung,” tegasnya.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meena Raman juga dilihat senada dengan Shariffa dalam soal ini.

Menurutnya, penebangan hutan dan pembalakan juga perubahan iklim antara faktor berlakunya banjir besar ini.

Oleh itu, Meena mahu kerajaan menitik berat isu penebangan hutan dan pembalakan yang menjadi faktor utama situasi banjir teruk berlaku di negeri Pantai Timur, di samping kesedaran masyarakat terhadap perubahan iklim.

“Penebangan hutan, pembalakan atau apa sahaja yang mengganggu kemampuan tanah untuk menyerap atau menjadi span, pasti akan menyebabkan banjir yang memberi kesan buruk apabila ia tidak mampu menampung jumlah air.”


“Perubahan iklim juga akan meningkatkan risiko, seperti menyebabkan banjir dan peningkatan hujan,” kata Meena lagi.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button