Pembaharuan Institusi Islam Antara Isu Dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-260
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 29 November 2022 – Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang akan bersidang secara rasmi selama dua hari bermula hari ini dilaporkan akan menyentuh mengenai pembaharuan institusi Islam negara.
Selain itu, agenda lain yang turut akan disentuh adalah kemajuan hal ehwal agama Islam, perkembangan semasa dalam negara serta cabaran mendatang termasuk ekonomi serta taklimat mengenai keselamatan dan pertahanan negara.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 ini akan dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang dijadual berlangsung jam 10.30 pagi ini di Istana Negara.
Kali terakhir Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-259 diadakan adalah pada 29 Jun lalu yang dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Semalam, satu Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 diadakan terlebih dahulu di Istana Negara pada jam 11 pagi yang turut dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.