Tempatan

Pemangku Raja Pahang Titah Wakil Rakyat Jangan Selesaikan Masalah Rakyat Saat-Saat Akhir

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PEKAN, 01 Ogos 2022 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah bahawa baginda enggan melihat atau disembah maklum terdapat jalan yang baru dibaiki, atap bocor yang baru dibaiki mahupun bantuan kepada fakir miskin, disampaikan sehari sebelum baginda tiba ke lokasi terlibat.

Baginda juga bertitah dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar hari ini, baginda akan turun padang secara mengejut untuk meninjau sendiri keadaan di Negeri Pahang, antaranya bagi memastikan segala bantuan yang harus diterima rakyat sampai segera tanpa birokrasi rumit.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal bertitah kepada penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang agar tidak menjadikan kurniaan itu sebagai modal bersikap sombong, riak dan angkuh sebaliknya menjadikan ia sebagai pendorong untuk berbakti dan memberi sumbangan kepada rakyat yang memerlukan.

Dalam Titah Diraja tersebut, baginda menjelaskan bahawa usaha memulihkan Tasik Chini perlu dimainkan semua pihak, bukan sahaja Kerajaan, malah pelombong dan pelesen sedia ada juga perlu memberikan komitmen dan turut sama dalam menjayakan usaha ini.

“Tiada istilah terlepas pandang terhadap penjenayah alam sekitar. Semua pihak tanpa mengira darjat dan kedudukan perlu akur dan patuh kepada undang-undang sama ada ahli kerabat, ahli Yang Berhormat, ahli politik, ketua jabatan, penjawat awam mahupun rakyat.”

“Saya mahu kegemilangan Tasik Chini dikembalikan semula dengan peranan asalnya yang memanfaatkan penduduk sekitar malah fungsi semula jadinya sebagai biosfera akan kekal lestari,“ titah baginda.

Baginda juga menegaskan, agensi dan badan penguatkuasaan seharusnya memainkan peranan secara serius dalam isu alam sekitar seperti mengadakan rondaan serta pemantauan lebih kerap kerana akta dan enakmen sedia ada yang berkaitan akan sia-sia jika tiada penguatkuasaan yang tegas.

“Saya tidak mahu lagi melihat kejadian seperti memasuki hutan tanpa kebenaran, kecurian hasil hutan termasuk balak, aktiviti pemburuan haram dan menangkap ikan terlarang dengan bom, racun atau renjatan elektrik.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: