Pemangku Raja Pahang Titah Banyakkan Program Kebajikan Kepada Rakyat
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
PEKAN, 14 Disember 2021 – “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Kerajaan Pahang memberikan fokus dan membuat lebih banyak program berbentuk kebajikan kepada rakyat di negeri ini.”
Titah Baginda, melihatkan prestasi kewangan negeri yang kukuh, iaitu berjaya mencapai sasaran kutipan hasil lebih 100 peratus serta merekodkan lebihan perbelanjaan.
“Dengan adanya lebihan kewangan tersebut, beta bertitah agar Kerajaan beta dapat memberikan fokus untuk mengadakan lebih banyak program dan projek yang berbentuk kebajikan kepada rakyat jelata.”
Seterusnya, Baginda bertitah lagi supaya Kerajaan Pahang mensasarkan untuk mengutip hasil melebihi RM1 bilion pada tahun hadapan kerana perkara itu tidak mustahil untuk digapai dengan kerjasama semua pihak.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut bertitah, kepada semua wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan, tingkatkan mutu perkhidmatan yang cemerlang.
“Permudahkan urusan rakyat, kurangkan birokrasi dan buang proses-proses yang tidak perlu. Keraplah turun padang melihat sendiri masalah rakyat di luar sana.”
“Beta sendiri akan sentiasa memantau dan membuat lawatan mengejut atau spot check, tidak kira di kawasan bandar atau taman, mahupun kawasan kampung dan pedalaman.”
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.