Pemangku Raja Pahang Bongkar & Dedah Aktiviti Perlombongan Haram
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUANTAN, 27 September 2022 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah hari ini berkongsi pendedahan di ‘Igstory’ milik baginda berkenaan aktiviti perlombongan haram di Pahang.
Baginda berkongsi beberapa keping gambar yang menunjukkan aktiviti, jentera-jentera perlombongan yang digunakan, laluan masuk, kumpulan pelombong yang terlibat serta kesan kerosakan alam akibat dari akitiviti haram tersebut.
Baginda yang sebelum ini aktif serta vokal dalam memperjuangkan isu alam sekitar turut berkongsi perkembangan terbaru di mana aktiviti perlombongan haram tersebut sedang diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Baginda turut berkongsikan gambar yang menunjukkan kumpulan pelombong tersebut sedang berada di Balai Polis bagi menunggu proses pihak berkuasa.
Pada 24 Ogos 2021, baginda menyeru sekali lagi kepada semua pihak termasuk Kerajaan Pahang, syarikat korporat dan swasta dan juga orang perseorangan untuk mengambil serius tentang pelaksanaan Environmental, Sosial, Governance (ESG) dalam pentadbiran negeri.
“Janganlah ianya menjadi retorik semata-mata sebaliknya prinsip ESG ini perlu menjadi amalan dan panduan kita dalam menjadi khalifah di bumi ini,” titah baginda.
Komitmen baginda terhadap alam sekitar tidak hanya tertumpu di Negeri Pahang tetapi turut terlibat melibatkan penyertaan baginda di peringkat antarabangsa.
8 Disember lalu, sempena anjuran COP26 oleh United Kingdom serta kerjasama iklim dengan Malaysia pada November lalu, baginda bertitah:
“Lebih murah untuk menyelamatkan planet ini sekarang, berbanding terpaksa membayar harga yang terlalu tinggi pada masa hadapan, memcegah lebih baik daripada mengubati.”
Komitmen baginda tentang isu alam sekitar terlihat jelas dan komited melalui titah-titah serta penglibatan baginda dalam acara-acara serta aktiviti dan perkongsian baginda melalui akaun media sosial milik baginda.