Pemandu Mabuk Rempuh Maut Pasangan OKU: Kerajaan Tengok Sahaja? – Netizen
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MELAKA, 07 Jun 2022 – Seorang pemandu kenderaan jenis Myvi yang dipercayai sedang mabuk telah merempuh sepasang suami isteri kurang upaya sehingga mengakibatkan kematian pasangan malang terbabit.
Kejadian yang berlaku di Jalan Serkam Pantai, Jasin, Melaka itu telah meragut nyawa Ezuddin Mohammad, 50, dan isteri Surayah Muhamat, 48.
Hal ini telah mengundang desakan dari netizen supaya Kerajaan mengambil tindakan lebih tegas ke atas pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk.
Seorang pengguna laman Twitter telah mempersoalkan tindakan Kerajaan berserta hukuman yang dikenakan ke atas pemandu mabuk.
“Pastu Kerajaan? Tunggu lagi? Tengok sahaja lagi? Sila pinda hukuman berkaitan pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. Penjara seumur hidup atau gantung sampai mati.”
“Settle masalah macam ni. Berapa kali tukar Kerajaan dah pun!” tegas pengguna terbabit sebagai respon terhadap berita kematian mangsa.
Pengguna media sosial juga turut menzahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa berserta anak-anak mangsa yang berhadapan dengan situasi duka tersebut.
“Mereka ini merupakan orang kurang upaya pendengaran (pekak). Saya tidak boleh membayangkan situasi anak-anak mereka apabila melihat ibu bapa mereka yang pekak meninggal dunia. Semoga rohnya ditempatkan dalam golongan mereka yang beriman,” luah Nadia.