Tempatan

Johor Tubuh Pusat Pemulihan Akidah, LGBT

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ISKANDAR PUTERI, 30 November 2023 – Kerajaan Negeri Johor bakal menubuhkan pusat pemulihan bagi menangani isu akidah terpesong dan golongan yang terbabit dengan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjelang tahun 2024 ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid, pusat pemulihan itu ditubuhkan bagi menempatkan golongan yang akidahnya terpesong serta pemulihan kepada kelompok LGBT yang disabitkan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Syariah, Enakmen 26-Musahaqah agar kembali ke fitrah asal.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu berkata, sebanyak RM400,000 kos diperuntukkan untuk pusat pemulihan tersebut yang dijangka beroperasi pada Julai tahun hadapan.

“Kewujudan pusat pemulihan bagi golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina ini merupakan pertama kali diadakan di Malaysia,” tambah beliau.

Menurutnya, pusat pemulihan itu bukan sahaja ditubuhkan bagi membimbing dan memulihkan golongan yang ingin bertaubat, tetapi ia juga sebagai platform bagi memupuk kesedaran kembali ke jalan yang benar.

“Ketika ini pusat pemulihan ini sedang dalam proses persiapan kemasukan harta modal di bahagian pejabat, asrama pelatih lelaki dan perempuan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, berdasarkan laporan sebanyak 29,065 kes dilaporkan yang melibatkan Kesalahan Jenayah Syariah dalam tempoh 10 tahun dan 71 daripadanya adalah kes pelanggaran Enakmen Jenayah Syariah yang melibatkan ajaran sesat dan amalan sesat.

Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar semalam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan bahawa kerajaan tegas dan konsisten dalam pendiriannya untuk tidak menerima sebarang aktiviti berkaitan LGBT yang merupakan amalan yang tidak boleh diterima dalam masyarakat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: