Pemain Hina Melayu Islam, BAM Gesa CBA Ambil Tindakan
KUALA LUMPUR, 14 Februari 2023 – “BAM benar-benar terkejut dan akan meneruskan isu ini termasuk menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Badminton China (CBA). Komen-komen yang memecahbelahkan seperti ini tidak mendapat tempat dalam masyarakat terutamanya di negara kita dan tidak boleh dibiarkan, tegas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan di Facebook.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik dipercayai mengeluarkan kenyataan rasis terhadap kaum Melayu sekali gus memperlekeh ibadah umat Islam.
BACA JUGA: PBB Mengaku Gagal Salur Bantuan Kemanusiaan Kepada Syria
BACA JUGA: Perkhidmatan Awam: Ini Soal Gaji, Bukan Peluang & Perkauman – Wan Ahmad Fayhsal
BACA JUGA: Qatar Sumbang Kabin Piala Dunia Buat Turkiye Dan Syria
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengecam komen perkauman jijik yang disiarkan oleh seorang warga Malaysia yang menetap di China. Warganegara Malaysia ini yang nampaknya sedang berlatih di China menyiarkan video itu di TikTok.”
Kata BAM lagi, orang yang rasis seperti itu tidak boleh diupah untuk bekerja sebagai jurulatih dalam sukan yang sangat digemari oleh berjuta-juta orang dari semua kaum dan agama.
Justeru, persatuan tersebut mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk diskriminasi dan akan menggesa CBA mengambil tindakan yang perlu terhadap individu ini.
“BAM dan semua ahli gabungan kami tidak akan menerima orang seperti itu untuk terlibat dalam badminton di Malaysia,” tegas BAM lagi.
Baru-baru ini, Bong Guang Yik mengeluarkan kenyataan menerusi akaun TikToknya dengan menyatakan, “Bagi orang Melayu jadi management. Eh diaorang sembahyang dah 5 kali sehari mana ada masa nak manage BAM! Lemah pengurusan ini, sistem yang lemah menyebabkan pemain Malaysia semua merosot!”
Ujarnya lagi, dia mengharapkan agar kaum Cina dapat menggantikan tampuk pengurusan BAM kerana orang Melayu hanya tahu makan sahaja.