Pelancong Bakal Lari Jika Kekal Tutup Kelab Malam – Industri Hiburan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 12 Mac 2022 – Pelancong yang menuju ke Asia Tenggara bakal tidak melancong ke Malaysia sekiranya kerajaan tetap dengan keputusan untuk terus menutup operasi kelab malam.
Menurut seorang DJ popular yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Victor Goh, industri hiburan merupakan salah satu penyumbang terbesar terhadap hasil pelancongan negara.
Goh berkata tindakan penutupan kelab malam itu mungkin terdorong daripada politik yang bertujuan untuk memuaskan hati golongan konservatif.
Namun, biarpun kelab malam tidak dapat beroperasi katanya, penggiat industri hiburan ini tidak berputus asa apabila tetap berusaha untuk menyediakan hiburan yang dibenarkan.
“Masih ada harapan bagi industri ini. Jika kelab malam tidak dibenarkan beroperasi, mungkin hiburan di luar premis pada waktu siang boleh menjadi alternatif,” ujarnya.
Pengasas sebuah kelab malam bernama Kyo di hotel Mandarin Oriental, Godwin Pereira, mengatakan bahawa pengumuman Menteri Kesihatan itu bukanlah satu kejutan buatnya.
Hal ini kerana, perusahaannya masih tidak dapat beroperasi serta terus menerus mengalami kerugian.
“Harap-harap kerajaan akan menyemak semula keputusannya sebulan selepas sempadan dibuka,” katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini mengeluarkan kenyataan dalam satu sidang media bahawa tiada mana-mana kelab malam dibenarkan beroperasi atau menjalankan aktiviti biarpun negara akan memasuki fasa peralihan endemik.
“Kita telah pertimbangkan dengan segala risiko dan kelab malam merupakan premis yang berisiko tinggi sekalipun dalam fasa peralihan ke endemik,” ulasnya.