Tempatan

Kementerian Beri Amaran Keras Terhadap Majikan Bayar Gaji Lewat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA KINABALU, 17 April 2023 – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapa Sakmud memberi amaran keras kepada majikan Negeri Sabah agar tidak lewat membayar gaji pekerja.

Tegasnya, “Saya beri amaran keras kepada majikan-majikan ini supaya pastikan gaji pekerja dibayar mengikut perjanjian antara majikan dan pekerja.”

Beliau juga mengingatkan agar majikan memahami Ordinan Buruh Sabah yang telah ditetapkan dan pihaknya akan mengenakan tindakan mengikut Akta Buruh terhadap mana-mana majikan yang gagal ataupun lewat membayar gaji pekerja.

BACA JUGA: ‘Perang Dalaman’ Sudan: Wisma Putra Sedia Bawa Keluar Rakyat Malaysia

BACA JUGA: Negara Arab Jangka Sambut Aidilfitri Sabtu, 22 April

BACA JUGA: Main Mercun Lepas Jam 12 Malam Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang

Mustapa berkata sedemikian selepas ditanya mengenai tindakan yang diambil Kementerian Sumber Manusia berhubung rusuhan sekumpulan pekerja binaan yang tidak berpuas hati selepas lewat menerima bayaran gaji oleh sebuah syarikat asing di Kota Kinabalu.

Ujar Mustapa, “Isunya berkaitan kelewatan gaji pekerja pada bulan Mac yang sepatutnya mengikut perjanjian dibayar pada minggu pertama setiap bulan dan melibatkan kira-kira 600 pekerja dengan jumlah sebanyak RM3.8 juta.”

“Jadi memang ada kelewatan untuk gaji bulan Mac sehingga kini dan pekerja tidak berpuas hati sehingga berlakunya pergaduhan serta kejadian memukul majikan mereka.”

Pihaknya telah menerima laporan berhubung isu itu dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah telah mengambil tindakan.

Jelas beliau, “Sesi perbincangan telah dibuat bersama wakil pekerja dan majikan di mana majikan telah bersetuju untuk membayar gaji itu pada 17 dan 18 April.”

Tambahnya, bagi memastikan proses ini benar-benar berlaku, pegawai JTK akan berada di tapak pembinaan dan mendengar aduan jika isu ini masih lagi berlaku.

“Kementerian bersedia menerima sebarang aduan daripada pekerja kerana mungkin juga ada pekerja lain lagi yang tidak dibayar membabitkan bulan sebelumnya,” kata Mustapa.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: