Pelampau Hindu Mengamuk Serang Perkampungan Muslim, Mahu Londeh Tudung Muslimah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KARNATAKA, 04 Mac 2022 – “Keadaan di Karnataka sangat serius. Kumpulan Hindu merusuh di kawasan Islam, merejam batu-batu ke rumah-rumah dan kawasan perniagaan orang Islam. Ugutan yang dibuat sebelum keputusan diumumkan adalah disengajakan dan amat membimbangkan.”
Ini antara luahan ketakutan oleh Afreen Fatima, Ahli Majlis Kesatuan Pelajar Universiti Jawaharlal Nehru, India.
Ujarnya, komuniti Islam di sana kini dilayan seperti penjenayah dan orang Islam sentiasa berada dalam keadaan bahaya tidak kira di mana mereka berada susulan perintah sementara dari Mahkamah Tinggi India.
Kata Afreena lagi, kolej-kolej menyalahgunakan perintah sementara untuk mengganggu wanita-wanita Islam yang ingin meneruskan pendidikan mereka.
“Jawatankuasa pembangunan kolej menggunakan kuasa mereka untuk mengharamkan pemakaian tudung. Peperiksaan dijadualkan pada bulan hadapan. Pelajar Islam dikecualikan & diasingkan.”
Bagi mantan Presiden Kesatuan Pelajar di Universiti Aligarh Muslim itu, ini bukan sekadar satu larangan yang biasa-biasa tetapi satu konspirasi untuk menyahkan wanita-wanita Islam dari ruang awam secara besar-besaran.
Malangnya, orang ramai tidak melihat konspirasi ini.
“Kejadian-kejadian yang berlaku ini sebenarnya bukan isu di dalam daerah sahaja. Ianya bahkan satu konspirasi yang kemudiannya dilancarkan terhadap orang-orang Islam di tempat lain. Propaganda kebencian ini dihasilkan di satu negeri dan dibawa keluar ke negeri lain.”
Justeru, beliau meminta orang ramai untuk segera menyedari penindasan yang berlaku terhadap Muslimah India selain menyatakan bahawa sesuatu perlu dilakukan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.
“Orang ramai tidak memahami graviti tentang apa yang berlaku di Karnataka. Akan ada pengecualian beramai-ramai wanita Islam dari ruang awam di seluruh negara. Keadaan sangat serius dan memerlukan tindakan,” katanya lagi.
Februari lalu, Mahkamah Tinggi India memerintahkan pelajar Muslimah yang ingin menghadiri kelas untuk melondehkan tudung mereka sehinggalah keputusan lengkap terhadap petisyen larangan bertudung bagi pelajar Muslimah dikeluarkan.
Video-video tular susulan perintah itu memaparkan pensyarah, pelajar malah kanak-kanak sekolah yang masih kecil dipaksa melondehkan tudung mereka oleh rakan sekerja Hindu jika mahu tetap meneruskan pengajaran atau pembelajaran mereka di sekolah/kampus.