Tempatan

Pelaku Boleh Didakwa Bawah Kanun Keseksaan – Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 20 April 2021 – Susulan isu pengawal peribadi dibelasah oleh majikan kerana berpuasa, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, Pensyarah Undang-Undang, Perlembagaan dan Hak Asasi, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM menegaskan, perbuatan menghalang orang Islam dari berpuasa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Jika paksaan untuk tidak berpuasa ditujukan oleh seseorang kepada orang beragama Islam kerana kebenciannya terhadap Agama Islam dan orang Islam, maka ia menunjukkan sikap diskriminasi orang tersebut atas alasan agama. Ini juga bertentangan dengan hak asasi kesamarataan yang dinyatakan dalam Perkara 8 yang melindungi kesamarataan dan mengharamkan diskriminasi.”

Ulas beliau lagi, bagi perbuatan menyakiti orang lain tanpa sebab yang dibenarkan oleh undang-undang, ia merupakan kesalahan jenayah yang sepatutnya didakwa di mahkamah.

Ini kerana hak hidup dan tubuh badan seseorang dilindungi oleh Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak boleh menyakiti orang lain kerana ianya merupakan kesalahan jenayah. Bab XVI dalam Kanun Keseksaan berkaitan Kesalahan-Kesalahan Mengenai Tubuh Manusia, manakala Seksyen 319 hingga 338 berkaitan dengan jenayah kecederaan. Dalam keadaan ini orang yang membelasah atau menyakiti orang Islam yang berpuasa tentunya boleh didakwa kerana kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya seperti mana yang dinyatakan dalam Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan pemenjaraan sampai sepuluh tahun atau dengan denda, atau dengan sebat.”

Dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan mengenai kesalahan dengan secara lisan, perkataan dan sebagainya menyebabkan di atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan boleh dipakai dalam kes ini kerana ianya melukakan perasaan orang Islam.

Mengakhiri kenyataan, Prof Madya Dr Khairil Azmin berkata, isu ini adalah isu yang amat serius dan perlu diambil tindakan dengan segera. Ianya bukan sahaja melibatkan hak asasi yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, malah merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang serta boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

“Amat memeranjatkan ianya masih lagi wujud di zaman moden dan serba canggih ini. Negara telah dibina atas dasar demokrasi dan persefahaman antara agama dan bangsa hampir 64 tahun, oleh itu kekerasan dan pemikiran sedemikian sepatutnya tidak wujud langsung sekarang. Ini menunjukkan masih terdapat kelemahan yang ketara dalam membentuk masyarakat yang mempunyai sikap dan pemahaman yang harmoni.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button