Tempatan

Pekerja Sudah Boleh Mohon Aturan Kerja Fleksibel Kepada Majikan – Timbalan Menteri

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ALOR SETAR, 24 Jun 2022 – Para pekerja boleh memohon surat Aturan Kerja Fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 bermula 1 September 2022 ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Antara yang boleh dimohon adalah perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja, ujarnya seperti dalam Berita Harian.

Majikan perlu memberi jawapan sama ada menerima atau menolak permohonan AKF tersebut dalam masa 60 hari.

Sekiranya permohonan ditolak, majikan perlulah menyatakan alasan penolakan tersebut, kata Datuk Awang Hashim lagi.

Mengulas lanjut mengenai isu fleksibiliti bekerja, Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, pihaknya bersedia membuat kajian mengenai dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti mula dilaksanakan di beberapa negara maju.

Akan tetapi, majikan juga perlu mempunyai kajian tersendiri mengenai perkara ini dan kemudian boleh dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JPPM.

“Kajian mengenai perkara itu perlu dilakukan secara menyeluruh berikutan terdapat majikan yang terkesan atas faktor produktiviti rendah,” ujarnya.

Semalam, samudera.my melaporkan, dapatan kajian Qualtrics, organisasi yang mempunyai kepakaran dalam pengendalian tinjauan secara maya mendapati, 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih memilih untuk bekerja hanya empat hari selama seminggu.

“Bagi sepertiga pekerja di Asia Tenggara (33 peratus), fleksibiliti bermakna kebebasan menentukan jam bekerja. Selebihnya mentakrifkan fleksibiliti sebagai keupayaan bekerja dari mana-mana lokasi (24 peratus), memilih hari mereka bekerja (19 peratus), atau dinilai berdasarkan prestasi, bukan bilangan jam bekerja (18 peratus). Responden daripada Malaysia menyuarakan pilihan yang sama,” menurut Qualtrics.

Leave a Reply

Back to top button