Antarabangsa

Pekerja Muslim Tukar Nama Berbunyi Hindu, Elak Diskriminasi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

NEW DELHI, 10 September 2022 – “Mereka tidak akan mengupah kami. Mereka membenci kami orang Islam. Sebahagian daripada mereka mengatakan bahawa kami orang jahat di hadapan muka kami. Jadi, Munni nama yang sesuai untuk kedua-dua komuniti (Hindu dan Muslim),” kata seorang pekerja Muslim bernama Munni.

Menurut perkongsian wanita itu kepada sebuah agensi berita antarabangsa, pada usia lewat 50-an ini barulah beliau memahami mengapa suatu ketika dahulu semua wanita dalam ahli keluarganya mengambil nama yang berbunyi Hindu di tempat kerja mereka.

Katanya, suatu ketika dahulu, ibunya turut memakai sari dan bindi untuk bekerja manakala kakaknya turut bekerja pada Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan syak wasangka.

Munni yang telah bekerja selama lebih 40 tahun sebagai pembantu rumah telah menghadapi diskriminasi dan penghinaan di banyak rumah Hindu dan Jain. Katanya, banyak rumah yang menolak untuk mengambilnya bekerja disebabkan identitinya yang beragama Islam.

Berdasarkan kajian daripada Initiative for What Works to Advance Women and Girls in The Economy (IWWAGE) dan Institute of Social Studies Trust (ISST) pada tahun 2020, kebanyakan wanita Islam di India bekerja dalam sektor tidak formal berbanding wanita beragama lain.

Anita Kapoor, Aktivis dan Setiausaha Agung di Kesatuan Shehri Mahila Kamgar (Kesatuan Pekerja Domestik Bandar) di New Delhi turut menyuarakan perkara yang sama dengan menyatakan, “Ramai pekerja perlu menyembunyikan nama dan identiti mereka untuk mendapatkan pekerjaan dan mengelakkan diskriminasi.”

Ujarnya lagi, ramai pekerja Islam yang telah lama memberikan nama Hindu kepada anak-anak mereka supaya mereka tidak menghadapi perkara yang sama.

Sebelum ini, Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) beserta komuniti antarabangsa mengutuk sekerasnya peningkatan islamofobia di India. Kata MACSA, India sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seharusnya bertanggungjawab untuk mematuhi dan menghormati kewajipannya dalam organisasi tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: