Pekerja Asing Dari India Bakal Diambil
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 Julai 2022 – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengatakan bahawa pekerja asing dari India bakal diambil untuk bekerja di beberapa sektor termasuk sektor perkhidmatan dan pembinaan.
Jelas beliau, pekerja berkenaan akan bekerja di restoran di bawah sektor perkhidmatan dan pemasangan kabel tegangan tinggi di bawah sektor pembinaan.
Menurut laman sesawang Kementerian Dalam Negeri, selain dari sektor pembinaan, mereka juga akan bekerja di bawah sektor pertanian dan perladangan.
Lapor The Star, Saravanan serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengatakan bahawa industri pembuatan, pembinaan dan perkhimatan akan dibenarkan untuk mengambil pekerja asing dari 15 buah negara sumber yang tersenarai bawah Kementerian Dalam Negeri.
15 buah negara tersebut anataranya ialah India, Thailand, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, Turkmenistan, Uzbekistan, Indonesia dan Kazakhstan.
Sementara itu, Menteri Industri Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamarudin meminta pemilik ladang untuk mempertimbangkan keputusan pengambilan pekerja asing dari India dan Pakistan sebagai langkah jangka pendek bagi menangani isu buruh.
Katanya, sektor itu juga perlu mencari penyelesaian jangka panjang dan tidak hanya bergantung kepada khidmat pekerja asing.
Terdahulu, Indonesia telah menghentikan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia termasuk beribu-ribu yang diambil bagi sektor perladangan susulan pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani antara kedua-dua negara.