Pekerja Amazon, Google Mogok, Enggan Hasilkan Teknologi Untuk Israel
WASHINGTON, 11 Oktober 2023 – Pekerja syarikat teknologi gergasi Google dan Amazon berkeras enggan menghasilkan alat teknologi untuk tentera dan kerajaan haram zionis Israel.
Menerusi sebuah kenyataan di laman X, mereka berkata, “Kami enggan mencipta alat teknologi untuk tentera dan kerajaan Israel yang terus mengawasi, mengasingkan dan membunuh rakyat Palestin.”
Tegas mereka, selagi teknologi syarikat tersebut menguasai kerajaan dan tentera aparteid Israel, Amazon dan Google dipercayai bersubahat dalam kemusnahan yang berlaku, termasuk pengeboman sewenang-wenangnya ke atas kediaman di kawasan kejiranan Palestin di Gaza baru-baru ini.
Dalam pada itu, mereka juga menuntut orang atasan Amazon dan Google segera membatalkan Projek Nimbus yang bernilai kira-kira $1.2 bilion. Projek tersebut dipercayai menyediakan teknologi canggih kepada zionis Israel yang membawa kepada jenayah aparteid dan pendudukan.
Mengakhiri kenyataan, mereka menyatakan solidariti penuh bersama rakyat Palestin yang menentang 75 tahun pendudukan dan berjuang untuk pembebasan negara mereka.
“Kami menyeru semua pekerja teknologi untuk menyertai tuntutan kami: No Tech For Apartheid. No Tech For Ethnic Cleansing.”