Pejuang Israel Sertai Ukraine Perangi Rusia; “Terima Kasih Yahudi”
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KYIV, 28 April 2022 – Tular di media sosial sebuah rakaman yang menunjukkan beberapa orang rakyat Israel berjuang bersama tentera Ukraine mengucapkan terima kasih kepada Israel dan orang Yahudi kerana menyokong perjuangan mereka menentang pencerobohan Rusia.
Rakaman itu yang mungkin dirakam pada minggu lalu, menunjukkan beberapa individu lelaki berpakaian seragam tentera Ukraine di kawasan hutan yang tidak dapat dikenalpasti.
Dalam klip pertama rakaman tersebut, terdapat kira-kira sedozen lelaki dalam perisai tempur dengan kebanyakan muka mereka ditutup.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan kerajaan Israel atas bantuan yang diberikan kepada kami. Kami di sini sedang berjuang menentang Rusia dalam peperangan yang amat sukar ini,” kata seorang pejuang dalam bahasa Ibrani.
Selain itu, ucapan terima kasih turut diberikan kepada kuil Yahudi di Kyiv dan ketua paderi Yahudi Ukraine Moshe Azman kerana menyediakan makanan kosher dan membantu mereka meraikan perayaan Paskah.
Seorang lagi pejuang berterima kasih kepada semua orang Yahudi yang membantu mereka dan mengatakan dalam bahasa Ibrani, “Kami di sini untuk anda, untuk seluruh negara. Kami di sini untuk semua orang yang nyawanya dalam bahaya. Kami berjuang untuk anda, melakukan kerja yang baik.”
Dalam pada itu, klip kedua menunjukkan sembilan individu lelaki berdiri sambil memegang bendera Ukraine dan Israel.
“Kami, tentera Ukraine yang berada di barisan hadapan memerangi pencerobohan Rusia, ingin menyatakan sokongan kami kepada rakyat Israel yang diserang teruk oleh pengganas.”
“Apabila Rusia memulakan perang melawan kami, anda berdiri bersama kami, oleh itu kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan anda dan berdiri bersama dalam waktu yang sukar ini,” tambahnya.
Pejuang itu juga yakin negara Ukraine dan Israel dapat mengalahkan musuh dan menamatkan keganasan.
Walaupun sedemikian, rakaman ucapan penghargaan tersebut masih tidak jelas kerana sebelum ini Ukraine berulang kali menghukum Israel yang hanya memberi sokongan suam-suam kuku kepada negara tersebut.