Tempatan

Pejuang Bangsa Sendiri Tidak Cakna Isu Teks Sahih Perlembagaan – Ketua Wira PUTRA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 02 Disember 2021- “Alah bisa tegal biasa”. “Jika hendak seribu daya, jika tak hendak seribu dalih.”

“Ini zaman moden dan zaman serba canggih, bahasa boleh diterjemah. Perkara pokoknya adalah, negara perlu mengangkat Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa “utama” dalam mahkamah bukan sekadar bahasa rasmi.”

Ini merupakan jawapan tegas Ketua Wira PUTRA Malaysia, Nasrul Ali Hasan Bin Abdul Latif dalam isu penggunaan teks sahih Perlembagaan yang masih dalam Bahasa Inggeris walaupun sudah disahihkan ke dalam Bahasa Melayu.

Bagi beliau, alasan terma atau perkataan Bahasa Inggeris lebih mudah, makna sesuatu perkataan lebih senang difahami dalam Bahasa Inggeris dan pelbagai lagi tidak boleh terpakai.

“Ini bukan soal minat, ini soal jati diri sebagai anak bangsa dan rakyat Malaysia. Pada Wira PUTRA ini juga adalah satu agenda Nasional yang patut diperjuangkan oleh semua pihak.”

Menurutnya lagi, para Hakim, Persatuan Peguam, pengamal undang-undang dan seluruh Badan Kehakiman perlu berlapang dada dan berjiwa besar sebagai pejuang keadilan dan rakyat yang nasionalis.

Oleh itu, Wira PUTRA akan terus mendokong dan menyokong penuh cadangan menggunakan teks sahih Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan sebagai teks utama dalam perbicaraan di mahkamah.

Tindakan ini bukan bertujuan untuk menyusahkan tetapi untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kedudukan sewajarnya di dalam sistem perundangan negara ini.

“Tak guna kita sibuk pertahankan bahasa kelas kedua, tanpa perjuangkan bahasa utama negara. Itu bukan keadilan,” katanya.

Menjawab persoalan tentang sama ada ramai yang tahu atau tidak teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan masih dalam Bahasa Inggeris, Nasrul Ali Hasan berkata, jelas dan semestinya orang ramai akan menjawab tidak tahu melainkan mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang perundangan.

“Kerana di Malaysia ini, masyarakat hanya ambil tahu dan masuk campur apabila sesuatu isu atau perkara yang disensasikan sahaja, lebih-lebih lagi apabila didendang oleh ahli politik atau selebriti kegemaran mereka,” katanya.

“Bagaimanapun, tanpa mereka sedar pemimpin yang mereka percaya menjulang Perlembagaan, Perkara 152 itu sekadar main wayang dan perkara sepenting ini tidak menjadi buah mulut atau disebut dalam perjuangan mereka pun.”

Menyedihkan, pemimpin-pemimpin ini adalah golongan yang berpengetahuan, sebilangan mereka sibuk teriak, terpekik terlolong Hidup Melayu, Pejuang Melayu tetapi apabila sampai kepada perkara teras seperti mengangkat martabat Teks Sahih Dalam Bahasa Kebanggaan ini lebih kepada dianaktirikan.

“Tak ambil peduli pun tentang kesannya terhadap pembangunan jati diri masa depan negara,” kata Nasrul.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: