Tempatan

Pejabat Peguam Negara Disaran Keluar Kenyataan Rasmi Tentang Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan –Teraju Baiduri NAJM, Azlinda Binti Baroni

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 Mei 2023 – Teraju Baiduri NAJM, Azlinda Binti Baroni dalam satu kenyataan pihaknya memohon dan menyeru agar Pejabat Peguam Negara mengeluarkan suatu pernyataan rasmi yang menyatakan secara tegas tentang kedudukan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, beliau juga telah berbincang dan merujuk kepada pakar perundangan NAJM dan kami merumuskan bahawa dalam perkara ini persoalannya ialah bukan tidak mengiktiraf teks sahih Bahasa Kebangsaan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, tetapi kecenderungan pihak pemain di bidang perundangan itu sendiri yang enggan mengangkat Bahasa Kebangsaan negara dalam urusan perundangan lazim mereka.

“Kerana apa? Kerana tidak mungkin Pejabat Peguam Negara tidak selesaikan segala proses dan prosedur domestik di masa menyiapkan terjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu teks Perlembagaan Persekutuan pada masa material tersebut,” ujarnya.

Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya itu menjelaskan, kita tidak percaya Pejabat Peguam Negara bersikap tidak profesional atau separa profesional dalam hal ini. Kita tahu Pejabat Peguam Negara merupakan satu badan yang sangat tinggi daya integriti serta tahap profesionalismenya. Kita sentiasa memandang tinggi kepada kedudukan Pejabat Peguam Negara di dalam struktur kenegaraan negara kita di dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau yang juga Peguam Sharie Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya & Labuan menegaskan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong (KDYMM YDPA) merupakan Ketua Eksekutif Kerajaan Malaysia. Kesemua ketiga-tiga cabang kuasa Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif berada di bawah bidang kuasa KDYMM YDPA.

Merujuk kepada perihal peruntukan di dalam Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan mengenai bidang kuasa KDYMM YDPA iaitu “Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks Bahasa Kebangsaan itu sebagai teks sahih,…”

Maka, peristiwa majlis pelancaran teks Perlembagaan Persekutuan Bahasa Kebangsaan yang dilaksanakan pada tarikh 29 September 2003 kelolaan Pejabat Peguam Negara pada masa material itu merupakan suatu manifestasi penetapan teks Perlembagaan Persekutuan Bahasa Kebangsaan itu sendiri.

Dalam kata lain, Eksekutif sudah buat keputusan bahawa teks Bahasa Kebangsaan Perlembagaan Persekutuan siap disediakan dan sudah diterima dan ditetapkan oleh KDYMM YDPA.

Justeru, apabila pelancaran tersebut dilaksanakan dengan sedemikian rupa, maka pihak Eksekutif sudah membuat keputusan rasminya menurut peruntukan Perkara 160B bahawa melalui Ketua Badan Eksekutifnya, teks Bahasa Kebangsaan itu sudah selesai diangkat sebagai teks sahih menggantikan teks Bahasa Inggeris selaras Perkara 160B.

Perlu diimbas kembali, Badan Legislatif sudah melaksanakan peranan dan fungsinya dengan menerima dan meluluskan Akta A1130, Seksyen 12, berkuat kuasa dari 28-9-2001; manakala Badan Eksekutif sudah membuat keputusannya disusuli majlis pelancaran tersebut oleh KDYMM YDPA sebagai Ketua Badan Eksekutif.

Seterusnya, Badan Kehakiman mesti melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawabnya merealisasikan mekanisma dalamannya berjalan mengikut penetapan tersebut.

“Ini sudah jelas. Tidak wajar ada lagi polemik atau dilema atau “kealpaan” dan alasan demi alasan tidak relevan yang seumpamanya lagi,” tegasnya.

Tambah beliau, menyatakan yang sebaliknya dan mempertikaikan atau membahaskan lagi bahawa teks sahih itu sama ada belum wujud atau belum selesai proses penetapannya dan pelbagai alasan serta polemik tidak relevan lainnya itu hanyalah usaha-usaha yang memperkecilkan, merendahkan atau mempermainkan bidang kuasa Ketua Badan Eksekutif iaitu KDYMM YDPA dan Pejabat Peguam Negara itu sendiri.

Pertikaian, perbahasan menidakkan kewujudan dan polemik tidak relevan yang berterusan ini memberi gambaran langsung dan tidak langsung bahawa ada pihak-pihak yang ingkar, cuai dan lalai untuk melaksanakan penetapan yang sudah disempurnakan itu.

“Saya ingin merujuk kepada pernyataan Dato’ Seri Nazri Aziz berkaitan perkara ini yang tegas menyatakan bahawa perkara ini sudah selesai. Begitu juga pernyataan oleh Tan Sri Rais Yatim yang berlembut dan menyebut tentang endorsement. Pada saya endorsement hanyalah suatu pernyataan rasmi yang kena dikeluarkan. Itu sahaja,” katanya.

Selanjutnya, kita semua warganegara kena sedar dan mesti patuh bahawa negara kita mempunyai suatu dokumen undang-undang bertulis yang dinamakan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Justeru, tunjukkan taat setia kita – KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA; Buktikan kejujuran mengangkat prinsip KELUHURAN PERLEMBAGAAN [Supremacy of the Constitution]; dan Hormati KEDAULATAN UNDANG-UNDANG.

Akhirnya, apakah sebenarnya erti menjadi seorang warganegara jika prinsip dan asas kenegaraan tanah air kita MALAYSIA ini kita perlekehkan persendakan dan perkecilkan? Adakah kita, kamu, engkau dan saya sangat mengambil berat erti menjadi warganegara Malaysia? Apakah buktinya? Soal beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: