Tempatan

Peguam Akan Rayu Keputusan Kes Cabar Keabsahan Sekolah Vernakular – Aidil Khalid

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2021 – Peguam, Aidil Khalid mengucapkan terima kasih kepada semua NGO dan barisan peguam yang bertungkus-lumus berjuang bagi mengangkat dan memartabatkan Perlembagaan Persekutuan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua NGO dan barisan peguam yang bertungkus-lumus berjuang bagi mengangkat dan memartabatkan Perlembagaan Persekutuan di negara ini.”

Beliau juga akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bahawa sekolah vernakular boleh terus beroperasi menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Kebangsaan.

“Mahkamah menyatakan bahawa tidak ada apa-apa yang salah atau bercanggah dengan Perlembagaan, untuk membenarkan sekolah vernakular terus beroperasi menggunakan bahasa selain dari Bahasa Kebangsaan,” kata Aidil dalam Facebooknya.

“Hal ini kerana Mahkamah berpendapat bahawa sekolah-sekolah vernakular bukan “pihak berkuasa awam”, dan oleh itu urusannya bukanlah “urusan rasmi” serta tidak tertakluk kepada kewajipan untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan.”

Walaupun hujah pihak plaintif disandarkan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Merdeka University, namun mahkamah memutuskan bahawa ia tidak sama dengan kedudukan sebuah “sekolah jenis kebangsaan” dalam kes semalam.

Berikutan keputusan semalam, barisan peguam sedang berbincang dan menyusun langkah untuk mendapatkan arahan daripada Plaintif-Plaintif bagi memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, memandangkan kes ini melibatkan isu dan takrifan Perlembagaan Persekutuan.

Aidil juga memaklumkan terdapat satu lagi kes hampir sama yang masih berjalan dan belum diputuskan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

“Ada satu lagi kes yang masih berjalan dan belum diputuskan, dengan intipati yang hampir sama, iaitu mencabar keabsahan serta kewujudan sekolah vernakular kerana mengkesampingkan Bahasa Kebangsaan, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu (manakala kes hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur).”

“Kes di Kota Bharu itu, yang difailkan oleh Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia, akan dibicarakan kelak, pada 20 Mac 2022 nanti.”

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam memutuskan untuk menolak saman yang dikemukakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Menurut penghakiman beliau, sekolah vernakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang diwajibkan untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan.

GAPENA yang bertindak selaku plaintif menamakan kerajaan Malaysia dan 13 yang lain iaitu Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil, The Malaysian Chinese Language Council, Persatuan Malaysia Tamil Neri Kalagam, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa KL selaku defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah MCA, MIC, GERAKAN dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Plaintif diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy dan Suzana Atan bertindak bagi pihak kerajaan.

Leave a Reply

Back to top button