Tempatan

Pegawai Imigresen & Enam Warganegara India Ditahan Ceroboh Negara

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 November 2022 – Seramai enam orang lelaki warganegara India dan seorang Pegawai Imigresen berumur 31 tahun telah ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 1 November 2022, semalam, menurut kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud.

Dalam operasi tersebut, JIM telah menumpaskan satu sindiket membawa masuk warganegara asing secara tidak sah berusia antara 20 hingga 42 tahun yang cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang melibatkan pegawai imigresen sendiri.

“Modus Operandi sindiket adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong. Sindiket akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong tulen. Pegawai Imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas passport tanpa merekodkan perjalanan warga asing tersebut ke dalam sistem Mylmms.”

Tambah beliau, sindiket ini disyaki telah beroperasi sejak pembukaan sempadan pada 1 April 2022 yang lalu dan dipercayai mengenakan bayaran antara RM5000.00 hingga RM6000.00 kepada setiap pelawat.

Justeru, satu operasi oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai-pegawai Imigresen Lapangan Terbang KLIA 2 telah dilaksanakan dan berjaya menumpaskan sindiket tersebut.

Semua warga asing berkenaan ditahan dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah, manakala Pegawai Imigresen berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperolehi.

Dato’ Sri Khairul Dzaimee memaklumkan, JIM akan terus meningkatkan usaha-usaha perisikan dan operasi bagi membenteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun ia melibatkan Pegawai-pegawai Imigresen sendiri. Mereka yang didapati bersalah akan menerima hukuman sewajarnya dibawah undang-undang berkaitan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: