Tempatan

Pecat, Jika Benarkan Penceramah Tanpa Tauliah Di Johor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ISKANDAR PUTERI, 17 Mac 2023 – Ahli jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan penceramah tanpa tauliah untuk memberikan ceramah di negeri ini akan dipecat, titah Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di dalam negeri johor mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” titah baginda sewaktu merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, semalam.

BACA JUGA: Kementerian Pengangkutan Rancang Bina Rangkaian Rel Malaysia-China

BACA JUGA: Program Libat Orang Islam Di Rumah Ibadat Bukan Islam Tidak Dibenarkan

BACA JUGA: Keputusan Fatwa SIS Forum: SIS Akan Fail Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan

Baginda bertitah, ahli jawatankuasa masjid serta surau diwajibkan untuk mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah sekiranya hendak menganjurkan ceramah agama beserta tajuk ceramah serta perkara yang akan disampaikan.

Tegas baginda, sekiranya didapati mana-mana masjid mahupun surau yang gagal mematuhi peraturan tersebut, maka kesemua ahli jawatankuasa masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat.

“Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam, tetapi adalah untuk mengawal penyebaran fahaman yang menyeleweng atau terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.”

“Keadaan ini juga adalah untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.”

“Sehubungan itu, Kerajaan harus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titah baginda lagi.

Awal bulan lalu, kenyataan daripada laman Facebook rasmi DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan bahawa penceramah yang memberikan syarahan agama Islam tanpa tauliah di Negeri Johor adalah suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Perkara itu juga terpakai buat penganjur kepada acara mengajar serta memberi syarahan agama Islam yang menggunakan penceramah tanpa tauliah MAINJ.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: