PDRM Perlu Segera Siasat @edisi_siasatmy – Tan Sri Musa Hassan
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2021 – Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan dimuat naik oleh pengguna akaun Twitter dikenali sebagai ‘@edisi_siasatmy’.
Ini selepas akaun itu mendakwa segelintir pegawai kanan PDRM dipercayai terlibat dengan kes penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
Namun yang demikian, PDRM perlu mengesahkan terlebih dahulu sama ada dakwaan yang tular itu benar atau sebaliknya sebelum mengambil sebarang tindakan, ujar beliau.
“Dalam hal ini, kesemua sumber maklumat itu perlu disiasat benar atau palsu.”
“Daripada sudut perundangan, mereka boleh mengambil tindakan saman jika maklumat itu palsu namun kalau benar semua bukti perlu dikumpulkan untuk menentukan sama ada jenayah itu benar berlaku atau sebaliknya.”
Jelas Tan Sri Musa Hassan, jika maklumat itu terbukti palsu, pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut boleh mengambil tindakan saman sivil.
Namun, jika sebaliknya, mereka yang dikaitkan perlu diambil tindakan bagi mengelak imej PDRM tercalar.
Baru-baru ini pengguna media sosial digemparkan dengan dakwaan dari pemilik akaun Twitter ‘@edisi_siasatmy’ bahawa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat masalah salah laku.
Malah, akaun itu turut mendakwa pengurusan tertinggi sebuah badan pencegahan rasuah melindungi sindiket jenayah serta terlibat dengan rasuah.