Tempatan

PBT Harus Lebih Tegas Tangani Tapak Pembuangan Sampah Haram – Presiden PEKA

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 28 Jun 2022 – Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Damien Thanam Divean menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih tegas dalam menangani isu pembuangan sampah secara haram yang kian berleluasa.

Menurutnya, pembuangan sampah haram itu berkemungkinan berpunca dari pihak kontraktor pembersihan yang mungkin tidak berlesen.

Malah, sampah-sampah itu juga berkemungkinan dikutip dari kawasan perniagaan dan penempatan yang tidak membayar cukai pintu kepada pihak PBT.

“Oleh itu, pihak PBT gagal kerana penguatkuasaan yang lemah atau lebih merisaukan jika PBT bersekongkol dengan kontraktor-kontraktor (haram) ini menerima rasuah untuk tidak mengendahkan aktiviti-aktiviti seperti itu,” ujarnya kepada akhbar Utusan.

Tambahnya, akta dan hukuman yang dikenakan terhadap kontraktor haram serta orang ramai yang terlibat juga tidak setimpal dengan kesalahan membuang sampah tersebut.

“Sebagai contoh, seorang kontraktor yang ditangkap membuang sampah di kawasan kolam belakang di Plaza Tol Batu 3 Shah Alam hanya dikompaun RM1,000 sahaja, sedangkan kita tidak tahu berapa kali lori kontraktor itu pergi ke kawasan tersebut untuk membuang sampah secara haram.”

“Pihak PBT patut tegas dengan mengambil alih aset seperti kenderaan kontraktor, membawa tuan tanah ke mahkamah dan menyaman kesemua yang terlibat untuk membayar kos pembersihan kawasan yang terjejas,” katanya.

Kelmarin, akhbar Utusan melaporkan sejumlah 432 tapak pembuangan sampah haram dikesan oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di tujuh buah negeri di mana 163 daripadanya masih aktif sebagai tempat pembuangan sampah biarpun ia sudah ditutup oleh pihak berkuasa.

Antara negeri yang berdepan dengan masalah berkenaan ialah Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.

“Sepatutnya PBT perlu bertanggungjawab memantau kawasan-kawasan perniagaan dan penempatan terutama yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan,” tegasnya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: