PBB Potong Bantuan Makanan Rohingya Di Bangladesh, Pemerhati Gusar
BANGLADESH, 11 Mac 2023 – Program Makanan Sedunia (WFP) telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan memotong kadar bantuan makanan bagi komuniti Rohingya yang kini berada di kem pelarian di Cox Bazar bermula dari bulan Mac ini berikutan kekurangan dana.
Potongan tersebut terpaksa dilakukan berikutan mereka kini kekurangan dana sekitar $125 juta. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa baucar makanan bulanan akan dikurangkan daripada $12 kepada $10 bagi setiap individu.
BACA JUGA: Guan Eng Nafi Batalkan Pengecualian Cukai Yayasan Syed Mokhtar Al-Bukhary
BACA JUGA: Angin Kencang Dan Laut Bergelora Dijangka Berlaku Isnin Ini
BACA JUGA: 3 Mei, Penentuan Nasib Siti Bainun
Pihak yang sama turut memberi peringatan bahawa jika tiada tindakan lanjut berkenaan kekurangan dana ini, mereka mungkin akan terpaksa membuat lebih banyak potongan pada masa akan datang.
Walaupun kem pelarian tersebut adalah di bawah kebenaran kerajaan Bangladesh, namun perbelanjaan bagi kelangsungan kem tersebut kebanyakannya adalah daripada organisasi-organisasi bantuan dari seluruh dunia.
Kini terdapat kira-kira satu juta warga Rohingya yang tinggal di kem tersebut yang berada di tenggara Bangladesh. Kebanyakan daripada mereka telah melarikan diri akibat tindakan tentera Myanmar pada tahun 2017, yang mana ianya adalah salah satu krisis kemanusiaan terbesar di dunia.
65 peratus daripada populasi kem tersebut adalah daripada golongan wanita dan kanak-kanak dan mereka kini telah pun berdepan dengan masalah kesihatan seperti kekurangan nutrisi dan anemia.
Disebabkan itu, mereka yang berkhidmat dalam membantu pelarian ini telah menyatakan kebimbangan mereka bahawa pemotongan jumlah bekalan makanan ini akan memberikan kesan yang dahsyat.
Masalah ini akan menyebabkan peningkatan dari segi keganasan di dalam kem. Para pemerhati menzahirkan kebimbangan mereka bahawa masalah yang sama berpotensi untuk menjadikan keadaan keselamatan di sana tidak stabil. Sebelum ini juga sudah terdapat beberapa pergaduhan yang melibatkan isu dadah, bahkan beberapa pemimpin komuniti juga telah dibunuh.
Ketegangan di sekitar sempadan Myanmar-Bangladesh juga telah meningkat berikutan beberapa aktiviti haram yang dijalankan seperti penyeludupan dadah dan senjata.