PBB Digesa Senaraikan Rejim Haram Aparteid Israel Sebagai Memalukan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RAMALLAH, 14 Disember 2022 – Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya memasukkan rejim haram aparteid Israel dalam ‘senarai memalukan’ susulan jenayah yang dilakukan terhadap golongan kanak-kanak dan remaja.
Gesaan itu dibuat ketika mesyuarat bersama Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Konflik Bersenjata dan Kanak-kanak, Virginia Gamba di Ramallah baru-baru ini.
Tidak berhenti di situ, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki turut bertindak dengan menyerahkan laporan terperinci mengenai jenayah yang dilakukan rejim haram aparteid Israel terhadap kanak-kanak Palestin.
Laporan tersebut mendedahkan jenayah yang dibuat secara sengaja dan sistematik seperti yang terkandung di bawah kerangka kerja Resolusi 1612 Majlis Keselamatan PBB mengenai konflik bersenjata dan kanak-kanak.
“Saya berharap Gamba dapat mendesak rejim Tel Aviv supaya menghentikan jenayah kejam ke atas kanak-kanak Palestin dan meminta komuniti antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk memenuhi kewajipannya bagi melindungi penduduk Palestin.”
“PBB perlu ambil langkah sewajarnya untuk mengheret Israel yang merupakan penjenayah perang ke muka pengadilan,” tegasnya.
Kedua-dua individu tersebut melakukan hal sedemikian susulan kematian seorang remaja perempuan Palestin yang ditembak dengan empat das tembakan oleh penembak tepat rejim haram aparteid Israel di atas bumbung rumah keluarganya ketika ingin mengambil kucing peliharaannya.
Walau bagaimanapun, tentera tersebut mengaku tidak sengaja berbuat sedemikian dan melalui siasatan awal Pasukan Pertahanan Israel (IDF), mereka mendapati mangsa berada dekat dengan kumpulan lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan dan melemparkan bom molotov ke arah anggota mereka.
Menurut komander tentera rejim haram aparteid Israel, mereka ‘menyesali sebarang bahaya terhadap orang awam yang tidak terlibat’, tetapi akan tetap meneruskan operasi serbuan mereka.