Tempatan

Pengikut Ajaran Sesat “Asmaul Husna” : 6 Prasekolah Kelantan Dipantau

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KOTA BHARU, 5 April 2021 –  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sedang memantau enam prasekolah di negeri itu yang dikhuatiri mengadakan sesi pembelajaran menyalahi hukum Islam.

Ini berikutan penerimaan laporan yang mendakwa pemilik tersebut adalah antara pengikut ajaran “Asmaul Husna Wan Maseri” yang diwartakan sebagai ajaran sesat di beberapa negeri sebelum ini.

“Kita menerima laporan ini selepas ada guru yang mengajar di situ hadir ke pejabat JAHEAIK untuk membuat laporan sebaik ajaran itu diwartakan sesat dan meragukan,” ujar Pengarah JAHEAIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

“Guru itu mendakwa mereka dipaksa menghadiri sesi motivasi di markas ajaran tersebut di Pulau Mukhlisin dekat Danau To’ Uban, Pasir Mas, dan sekiranya gagal akan berhadapan tindakan termasuk dipecat.”

Ulas beliau, walaupun pengasas ajaran berkenaan, Dr Wan Maseri Wan Mohd telah mengakui kesalahan selain kembali kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, JAHEAIK mengambil maklum syor Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia agar pemantauan berterusan dibuat terhadap ajaran tersebut dan pengikutnya.

“Ajaran ini dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan dan Membasmi Ajaran Sesat pada Disember 2020 dan bersetuju dibawa ke Mesyuarat Jemaah Ulama Negeri Kelantan untuk difatwakan dalam masa terdekat,” kata Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Ajaran “Asmaul Husna Wan Maseri” mula dikesan di Kelantan pada awal September tahun lepas selepas JAHEAIK menerima laporan pengikut ajaran itu mengadakan majlis zikir meragukan di markas mereka di Pulau Mukhlisin.

Antara ciri-ciri kesalahan ajaran itu ialah menghuraikan ajaran berkaitan agama mengikut akal tanpa guru, mendakwa ilmu ‘makrifat Asmaul Husna’ datang secara langsung daripada Allah, berqiamullail dengan berimankan Imam Mahdi dan memperkecilkan kemuliaan Rasulullah Nabi Muhammad SAW.

Berikutan perkara ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya ajaran Asmaul Husna Wan Maseri dihidupkan kembali seperti yang didakwa oleh bekas pengikutnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: