Patriotisme: Guru Pendidikan Formal Mainkan Peranan Penting – Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
SHAH ALAM, 07 Jun 2021 – Penyandang Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz menegaskan, penyampaian guru dalam pendidikan formal memainkan peranan penting dalam menghidup dan menerapkan nilai patriotisme dalam diri individu.
“Cara penyampaian dan watak seseorang guru memainkan peranan penting dalam mengukuhkan semangat patriotisme seseorang. Oleh itu, pendidikan formal perlu ditekankan bagi melahirkan dan mengukuhkan nilai patriotisme individu.”
“Guru ini menjadi idola (bagi pelajar). Bukan sahaja sistem (pendidikan), tetapi watak guru itu juga penting untuk mengemaskan lagi, mengukuhkan lagi semangat patriotisme.”
Tambah beliau lagi dalam sesi Siri #10 Bual Bicara Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bertajuk ‘Hina Institusi Beraja: Salah Siapa’ yang disiarkan melalui Facebook Live pada 4 Jun 2021 lepas, tidak hanya di peringkat persekolahan, pihak universiti juga perlu memainkan peranan mengukuhkan nilai patriotisme dalam kalangan pelajar.
“Pada peringkat universiti, kita perlukan pengukuhan. Pengukuhan itu bukan setakat mengajar tentang bendera, mengajar tentang prinsip-prinsip dalam Rukunegara, tetapi ia lebih kepada kesedaran dalaman diri.”
“Apabila saya perhatikan pendidikan di peringkat universiti, ia juga ada sedikit kekurangan dari sudut penghayatan. Contoh, kalau kita dekat sekolah dulu, kita ada perhimpunan mingguan. Masa tulah kita naikkan bendera, nyanyikan lagu (Negaraku) dan sebagainya. Kalau di universiti, kita sudah hilang semua tu.”
Justeru, bagi Prof Datuk Dr Shamrahayu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, sebagai contohnya memainkan peranan penting untuk meneruskan kelangsungan daripada sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Patriotisme ini adalah lifelong learning. Once kita belajar, kita akan gunakan sepanjang hidup kita.”
Siri #10 Bual Bicara Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bertajuk ‘Hina Institusi Beraja: Salah Siapa’ adalah anjuran Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) UiTM.
‘Hina Institusi Beraja: Salah Siapa’ disiarkan menerusi Facebook Live Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, pada hari Jumaat, 4 Jun 2021 di mana moderator pada hari tersebut ialah Saudara Muhammad Irsyad Syahmi Bin Abdul Jamal, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar 20/21, UiTM Cawangan Pulau Pinang.