Pasaran Tenaga Kerja Malaysia Diramal Cerah Pada 2023
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 22 Disember 2022 – Platform pekerjaan online, Jobstreet Malaysia telah menyatakan bahawa pasaran tenaga kerja pada tahun hadapan diramal akan meningkat berikutan ekonomi negara yang meningkat sebanyak 14.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini.
Peningkatan daripada 8.9 peratus pada suku kedua itu membuatkan para majikan optimis dan membuatkan Jobstreet berpendapat bahawa lebih ramai orang akan diambil bekerja pada tahun 2023.
Kajian yang dijalankan oleh Jobstreet Malaysia itu menunjukkan bahawa 53 peratus daripada para majikan di Malaysia telah mengundi akan pilihan “sangat yakin” terhadap pasaran kerja Malaysia.
Kajian yang bertajuk Malaysia 2022 – 2023 Compensation and Benefits itu turut menyatakan bahawa 57 peratus daripada para majikan lagi melaporkan bahawa tahap pengambilan pekerja telah kembali kepada tahap yang dicapai sebelum pandemik.
Manakala 23 peratus lagi meramalkan bahawa kenaikan ini akan berlaku menjelang bulan Jun pada tahun hadapan.
Menurut kajian yang melibatkan hampir 500 orang peserta yang terlibat dalam proses pengambilan pekerja, 88 peratus daripada syarikat-syarikat yang terlibat sudahpun aktif dalam mengambil pekerja baharu sejak 6 bulan lalu.
Peranan yang mempunyai permintaan tinggi dalam pengambilan pekerja adalah dalam bidang pentadbiran, pengurusan sumber manusia, akaun, perkembangan perniagaan, kejuruteraan serta teknologi maklumat.