Tempatan

PAS Kedah Pertahan Tindakan Penutupan Penuh Premis Judi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ALOR SETAR, 10 Julai 2024 – PAS Kedah menyokong langkah Kerajaan Negeri untuk menggunakan jalan perundangan bagi mempertahankan tindakan menutup sepenuhnya premis dan kedai perjudian mulai 1 Januari tahun lalu.

Pesuruhjaya, Dato’ Haji Ahmad Bin Yahaya berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan Kerajaan Negeri Kedah itu.

Bagaimanapun, “PAS Kedah kesal dengan tindakan syarikat perjudian yang hanya memikirkan keuntungan sendiri sehingga mengenepikan kesan ketagihan judi yang telah merosakkan keharmonian dan keutuhan bermasyarakat dalam negeri ini.”

Tegas beliau, “Alasan yang dikemukakan syarikat judi tersebut bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbangkan kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar.”

“Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. Bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot oleh operator premis judi berkenaan.”

Sehubungan itu, PAS Kedah menegaskan bahawa dasar Kedah Bebas Judi adalah tindakan yang tepat oleh Kerajaan Negeri, malah ia sememangnya berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Garis pemisah perundangan Kerajaan Negeri dan Kementerian Kewangan dalam hal ini juga jelas.”

Justeru, ujarnya, “Perkara yang menjadi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya wajar sentiasa menjadi keutamaan bagi sesebuah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: