Tempatan

Kerajaan Perlu Martabatkan Darjat Orang Melayu & Agama Islam – PM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 12 Disember 2022 – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini perlu menyelamatkan keadaan agar darjat orang Melayu serta agama Islam di negara ini terus dimartabat.

Beliau berkata sedemikian susulan daripada ucapannya yang mahukan ulama dan umara serta guru-guru agama di negara ini terus mendidik serta menyebarkan dakwah kepada umat Islam di samping turut mempertahankan tradisi ilmu dan akliah.

“Dalam kalangan fahaman Islam yang saya faham, kekuatan Islam sebenar adalah menyeluruh iaitu merentasi bukan sahaja manusiawi, haiwan, pohon-pohon, bukit bukau dan juga bumi.”

“Umat Islam yang seimbang adalah umat yang mempertahankan kesederhanaan,” katanya sewaktu berucap dalam Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana semalam.

Jelas beliau, kesederhanaan itu termasuklah mereka yang tidak terburu-buru dalam kemarahan, menjatuhkan hukuman, mengkafirkan dan merendahkan darjat orang lain serta memfitnah.

Katanya, setiap pimpinan negara tidak terlepas dalam menunjukkan kasih sayang antara orang Islam mahupun mereka yang bukan Islam dan dengan adanya ketegasan daripada pemimpin, hasrat dan impian ini diyakini dapat dilaksanakan.

“Ia juga boleh dilakukan melalui sistem pendidikan, meletakkan anak muda yang mempunyai kefahaman jelas untuk memimpin dan melalui sistem sekolah agama, pondok dan tahfiz,” jelasnya lagi.

“Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan kefahaman membina dan bukan merobohkan. Memang senang untuk merobohkan tapi sukar untuk membina,” ujarnya mengakhiri kata.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: