Jalan Lurus

Larangan Mendedahkan Keaiban Pasangan – Dr Ahmad Sanusi Azmi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

1.Perselisihan dalam rumah tangga pasti akan berlaku. Namun, setiap pasangan hendaklah menjaga hubungan baik sesama mereka. Rasulullah mencela pasangan yang mendedahkan keaiban pasangannya.

2. Namun, sekiranya pasangan telah melakukan kesalahan, dosa dan maksiat, maka sekiranya boleh diselesaikan dengan baik, selesaikan dengan cara yang baik. Sekiranya tidak, mahkamah adalah tempat penyelesaian terbaik. Pendedahan di media sosial bukanlah jalannya.

3. Dalam al-Quran, Allah memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka,  dan memelihara dari disakiti. Firman Allah:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

“Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)

4. Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Kata beliau:

جعل اللباس كناية عن الزوج لكونه ستراً لنفسه ولزوجه أن يظهر منهما سوء

“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”

5. Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka. Sabda Rasulullah:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا

“Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)

6. Dalam sebuah insiden yang lain, seorang wanita pernah datang dan mendedahkan kepada Rasulullah bahawa dia telah berzina. Rasulullah meminta wanita tersebut pulang dan memikirkan kembali pendedahan tersebut. Ini kerana, Allah masih membuka ruang taubat untuk kembali kepadaNya.

7. Namun sekiranya kesalahan tersebut telah sabit, maka selesaikanlah dengan pihak berautoriti seperti mana yang digariskan dalam syariat Islam. Janganlah dijadikan budaya bahawa setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Pautan Asal: FB Dr Ahmad Sanusi Azmi

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: