Parasit Purba Ditemukan Dalam Najis Fosil Berusia 200 Juta Tahun
BANGKOK, 16 Ogos 2023 – Penyelidik menemukan parasit prasejarah dalam najis fosil yang berusia kira-kira 200 juta tahun.
Penemuan tersebut dirungkai oleh Ahli Paleontologi Universiti Mahasarakham di Thailand, Thanit Nonsrirach yang menyifatkan penemuan itu sebagai satu penemuan penting untuk memahami kepelbagaian parasit dan bagaimana ia berinteraksi dalam ekosistem purba.
Memetik kepada laporan agensi berita antarabanga, najis fosil itu yang digelar koprolit boleh memberi petunjuk kepada penyelidik tentang haiwan mana yang tinggal di sesuatu tempat pada masa tertentu.
Di samping itu, ia juga boleh menunjukkan jenis makanan organisma tersebut dan juga cara sistem pencernaan makhluk itu berfungsi.
BACA JUGA: Tanah Runtuh Batang Kali: Waris, Mangsa Gesa MB Kemuka Laporan Segera
BACA JUGA: Ketepatan Masa Antara Rungutan Utama Pengguna Pengangkutan Awam
BACA JUGA: China Hasilkan Senjata Laser Baharu
Najis fosil itu mengandungi seakan-akan telur daripada sekurang-kurangnya enam parasit individu daripada sekurang-kurangnya lima jenis yang berbeza.
Para penyelidik menyatakan, ia berkemungkinan najis kepada reptilia phytosaur yang kelihatan seperti buaya hidup dan telah pupus pada akhir zaman Trias.
“Pandangan baharu ini memberi kita pemahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana ekosistem masa lalu berhubung dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan haiwan prasejarah,” kata Nonsrirach yang turut terkejut dengan penemuan jarang berlaku itu.
Untuk rekod, najis fosil yang dikaji dalam kajian itu ditemukan pada tahun 2010 sewaktu kerja lapangan berhampiran perkampungan Nong Yakong di Wilayah Chaiyaphum, Thailand.