Pendapat

PANGGIL SIDANG PARLIMEN BUKAN HANYA HASRAT SERI PADUKA BAGINDA – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Tafsiran yang meremehkan kuasa, pandangan dan hasrat Yang di-Pertuan Agong berlaku kerana menggunakan kaedah tidak berlandaskan falsafah Perlembagaan Persekutuan yang bersifat watan Malaysia.

Pada hakikatnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan sejarah perundangan negara, Malaysia ialah sebuah Persekutuan yang mendokong prinsip kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan itu termaktub dalam Perkara 181(1) dan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan. Pentafsiran kuasa Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu untuk memerintah Persekutuan tidak boleh abaikan undang-undang sedia termasuklah adat Melayu kerana itu prinsip itu dipelihara oleh Perkara 181(1) dan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Masih ramai sarjana yang terkhilaf apabila membuat rujukan prinsip kedaulatan negara kita dengan amalan Westminster. Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia tidak mutlak serta dilaksanakan dalam kerangka undang-undang yang tertakluk pada sekatan-sekatan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan sistem demokrasi berparlimen kita berbeza dengan amalan Westminster di England walaupun sebahagian bentuknya digunapakai di sini. Perlembagaan Persekutuan hanya mengandungi beberapa struktur yang menyerupai sistem Westminster tetapi dari sudut pemakaian prinsip kedaulatan adalah berbeza sama sekali.

Di sisi Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Pemerintahan Persekutuan mewakili Majlis Raja-Raja bertanggungjawab untuk memelihara ketinggian tadbir urus Perlembagaan Persekutuan berdasarkan prinsip kedaulatan yang tersimpul dalam Sumpah Yang di-Pertuan Agong. Baginda diamanahkan sebagai “the custodian of the Federal Constitution”.

Sumpah Yang di-Pertuan Agong meletakkan kewajipan buat Baginda untuk memelihara agama Islam, melaksanakan pemerintahan yang adil, menjamin keamanan dalam Persekutuan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan

Dalam konteks ini, pandangan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan dalam Kenyataan Istana Negara pada 16 Jun 2021 perlu dihormati oleh semua pihak kerana objektifnya ialah untuk mengembalikan amalan semak dan imbang yang terjumlah di dalam intipati prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, pandangan itu bukanlah hanya hasrat Yang di-Pertuan Agong tetapi adalah bersifat nasihat kerana objektifnya merupakan salah satu kewajipan lantaran boleh dikuatkuasakan melalui kuasa prerogatif Baginda. Antara kuasa prerogatif itu ialah menggantung Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan jika keengganan Jemaah Menteri mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong itu boleh memprejudiskan kewajipan Baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Penggantungan Perkara 40(1) boleh berlaku melalui penggubalan ordinan darurat, dan merupakan langkah interim untuk membolehkan Parlimen kembali bersidang dalam tempoh secepat mungkin selaras dengan semangat Perkara 150(9). Nasihat yang dititahkan Baginda untuk dipanggil sidang Parlimen ialah hasil respon daripada pelbagai pihak, maka tidak wajar perkataan “secepat mungkin” ditafsirkan dengan maksud Yang di-Pertuan Agong belum menimbangkan faktor-faktor menjadi tajuk perbahasan seperti keadaan penularan wabak, prosedur dan sebagainya.

Untuk mengelakkan respon pihak Kerajaan disalah erti oleh rakyat, ada baiknya pentafsiran “secepat mungkin” tidak dibahaskan di media sebaliknya Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan tarikh yang secepat mungkin untuk memanggil sidang Parlimen seperti nasihat Baginda.

Sebagai pelaksana fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 39, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri perlulah menghormati hasrat dan nasihat pemilik kuasa eksekutif Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong kerana kuasa itu merupakan satu amanah besar yang dipertanggungjawab di bawah Sumpah Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan nasihat kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri Baginda merupakan prerogatif Raja-Raja berlandaskan prinsip syura yang diwarisi daripada sistem politik traditional Melayu sebelum Merdeka.

Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain
Pengasas Jurisprudens Watan merangkap Pengarah Institut Tamadun & Kajian Strategik, UMP (ITKAS)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: