‘Pameran Synthesis’ Pertama Pamer Koleksi Karya Cetakan Blok Persendirian Raja Permaisuri Agong
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 Ogos 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Synthesis yang menampilkan 40 Rekaan Batik Seri Paduka Baginda sendiri, semalam.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda bersama anakanda YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah pada jam 3.00 petang disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Dato’ Seri Dr Syed Hussian Aljunid, dan barisan kepimpinan tertinggi MPB.
Pameran Synthesis yang diadakan di Galeri Prima, Balai Berita The New Straits Times Press, Bangsar bermula 1 Ogos lalu hingga 18 September ini dikatakan istimewa kerana Galeri Prima menjadi galeri seni persendirian pertama mendapat perkenan Seri Paduka Baginda untuk mempamerkan karya eksklusif Baginda, batik cetakan blok iaitu antara teknik pembuatan batik tradisional tertua di negara ini.
Lebih istimewa, Pameran Synthesis mempamerkan koleksi seni persendirian Seri Paduka Baginda dan tidak pernah dipamerkan kepada umum sebelum ini, lapor Istana Negara.
Pada pameran tersebut, Seri Paduka Baginda turut memperkenankan Galeri Prima mempamerkan 12 karya salah seorang pelukis batik terbaik negara iaitu Ramli Malek.
Selain itu, pameran itu turut menampilkan 42 karya seni 37 artis tempatan terkenal dan baharu seperti Datuk Chuah Thien Teng, Chuah Seow Keng, Yusof Ghani, Abdullah Jones, Fauzin Mustafa, Mastura Abdul Rahman, Zaharin Muhammad dan Raja Azhar Idris.
Seri Paduka Baginda juga berkenan meluangkan masa meninjau kawasan pameran dan menyantuni serta beramah mesra dengan barisan kepimpinan tertinggi MPB dan para artis tempatan yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut.