Palsu! KKM Sahkan Pihak Tidak Bertanggungjawab Guna Gambar Menteri Kesihatan
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil perhatian serius terhadap penyebaran maklumat palsu yang tular di media sosial baru-baru ini berkaitan “Produk Faligold” menerusi pautan https://www.kolostrumfaligold.com/meomeo?fbclid=IwAR0AWd7OndhRy4pSCfc9k_5aM27hC8lQwdYuds5ykwprdDIENVJDQw06_n0, kata KKM dalam satu kenyataan.
Tegas KKM, pihak yang tidak bertanggungjawab telah memanipulasi gambar dan jawatan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr Zaliha Mustafa melalui pengesahan palsu berhubung penggunaan produk tersebut sebagai mekanisme penyembuhan berkaitan pankreas dan risiko komplikasi diabetes.
BACA JUGA: Ingkar ‘Bond’ Parti, Mahkamah Arah Mantan Naib Presiden PKR Bayar RM10 Juta
BACA JUGA: Rider Digantung Tegur 2 Warga Singapura ‘Borong Minyak’, Siasat Semua Terlibat! – CIJ
BACA JUGA: Lembab Tangani Kandungan Memudaratkan, MCMC Ambil Tindakan Perundangan Terhadap Meta
Menerusi poster yang dikongsikan, pihak produk tersebut menyatakan, ‘MENTERI KESIHATAN MENGESYORKAN FALIGOLD’ di mana gambar YB Dr Zaliha turut dilampirkan.
“Ini boleh mengundang kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat memandangkan fakta yang disiarkan adalah tidak tepat dan mengandungi ‘product over claim‘ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata KKM.
Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan agar menghentikan sebarang perkongsian maklumat tersebut, berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran produk yang boleh menarik minat serta emosi dengan menyemak fakta dan maklumat di platform yang dipercayai.
“Tindakan akan diambil di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana telah mengedarkan maklumat palsu yang mengandungi salah faham serta kandungan yang tidak benar dengan tujuan tertentu demi kepentingan keuntungan semata-mata,” tegas KKM lagi.