Palestin Gesa PBB Isytihar Kebuluran Secara Rasmi Di Gaza
GAZA, 27 Disember 2023 – Palestin pada Selasa lalu telah menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisytiharkan secara rasmi kebuluran di Semenanjung Gaza yang telah diserang secara berterusan oleh Israel sejak 7 Oktober lalu, memetik satu laporan berita Timur Tengah.
Menurut Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan, lebih daripada satu juta orang di Semenanjung Gaza dilanda kelaparan dan laporan antarabangsa menunjukkan merebaknya kebuluran dalam kalangan keluarga rakyat Palestin yang menghabiskan sepanjang hari tanpa makanan.
Tambah Kementerian itu, kira-kira 1.9 juta orang yang berpindah berada di pusat perlindungan dan terdedah kepada kelaparan yang teruk, malah, 50,000 wanita hamil berada di pusat perlindungan tanpa air, ubat atau penjagaan kesihatan.
Serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu telah mengorbankan kira-kira 20,700 rakyat Palestin di mana kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak serta 54,536 yang lain mengalami kecederaan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan itu juga telah mengakibatkan Semenanjung Gaza berada dalam kehancuran di mana separuh daripada perumahan wilayah pantai rosak atau musnah dan hampir dua juta orang berpindah di dalam enklaf yang padat dengan penduduk dan kekurangan makanan dan air bersih.