Palestin Berdarah: Konflik Tunjuk Wajah Sebenar Demokrasi Barat – Tun M
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 18 Julai 2021 – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan, konflik Israel-Palestin menunjukkan wajah sebenar demokrasi dicanang oleh Barat dan penyokong dunia bebas, lapor portal The Malaysian Insight.
“Konflik tersebut menjelaskan lagi perangai munafik, sikap pilih kasih dan diplomasi berat sebelah negara-negara berkaitan.”
“Keamanan, kebebasan dan keadilan ini mantera yang selalu dipakai masyarakat antarabangsa dan kuasa besar untuk pengaruhi perubahan rejim di Palestin.”
Kata beliau lagi, “Sejak awal, usaha untuk sembunyikan jenayah Israel dan penyokongnya dibuat menggunakan maklumat yang salah, terutama oleh media berpengaruh yang menyokong negara-negara besar ini.”
Kenyataan ini dikeluarkan ketika Tun Dr Mahathir merasmikan Justice for Palestine Action Front (JustPalestine), sebuah inisiatif strategik oleh Malaysian Research and Education Foundation (MyREF) bersama dengan Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) Malaysia.
Tambah Tun Dr Mahathir, sudah lebih 73 tahun rakyat Palestin menderita dan enam juta orang Palestin kini dipaksa tinggal di kem pelarian di Jordan, Lubnan dan Syria selama beberapa generasi tanpa ada harapan kembali.
“Kita tak boleh berdiam diri.”
“Sebagai manusia, kita ada tanggungjawab untuk suarakan pendirian dan rasa jijik kita atas jenayah terhadap kemanusiaan oleh Israel ini, yang kebal sejak sekian lama.”
Memburukkan keadaan, tiadanya kata sepakat dalam kalangan negara-negara Islam serta tindakan yang tidak sepatutnya dalam memberi respons terhadap isu Palestin adalah antara sebab kemelut negara Islam itu gagal ditangani.
“Itulah yang menjadi masalah, kita sesama kita pun tak dapat capai kata sepakat. Dalam penyelesaian konkrit ada dua pihak, tapi kita dapati sekarang ini ada satu pihak yang bertindak sebagai satu unit (Israel) tetapi yang menentang tidak ada perpaduan pun. Bahkan tindakan mereka kadang-kadang berbeza,” kata Tun Dr Mahathir.
Justeru, beliau menyeru umat Islam untuk mengambil tindakan tersusun dan berbaik-baik dengan orang bukan Islam yang bersimpati dengan Palestin.
“Saya harap orang Islam mengambil tindakan secara tersusun dengan berbaik-baik dengan orang yang bersimpati dengan kita. Walaupun mereka bukan orang Islam – seperti orang Eropah, orang Kristian, orang Amerika, tetapi mereka bersimpati dengan kita, maka perlu kita berkawan dengan mereka.
Kekejaman Israel terhadap Palestin tidak berkesudahan sehingga hari ini.
Terbaru, pasukan penjajah menyerang jemaah yang ditempatkan di Al-Musalla Al-Qibli dan melemparkan bom gas ke arah jemaah.
Jemaah di ruang solat Al-Qibli dikepung dan diserang oleh penjajah selepas solat Subuh (waktu Palestin) pagi tadi dengan alasan demi melindungi penduduk Israel.