Antarabangsa

Pakistan Sedia Pelan Kawalan Banjir Negara

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ISLAMABAD, 06 September 2022 – Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menyediakan Pelan Kawalan Banjir Nasional yang mantap dan berunding dengan pakar antarabangsa dalam bidang itu sebagai langkah wajar mengekang bencana banjir.

Shebaz berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat pertama Pusat Tindak Balas & Penyelarasan Banjir Kebangsaan (NFRCC) di Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Pemulihan dan Pembinaan Semula Gempa (ERRA) pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Shebaz turut mengarahkan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk membentangkan pelan berdaya maju bagi penambahbaikan sistem perparitan di negara itu agar dapat meminimumkan kerosakan akibat banjir pada masa hadapan.

“Tinjauan bersama oleh wakil Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA), Pakistan Army Engineering Corp, dan jabatan hasil wilayah sedang dilakukan untuk mengumpul data berkaitan skala kehilangan nyawa, harta benda, dan infrastruktur akibat hujan dan banjir baru-baru ini di semua bahagian negara supaya pelbagai usaha bantuan dapat disegerakan dan diselaraskan untuk menangani bencana bersejarah itu.”

Katanya, sistem perparitan yang cekap dan infrastruktur tahan bencana adalah penting untuk melindungi negara daripada bencana alam.

Di samping itu, Shebaz turut meminta Ketua Setiausaha Wilayah memastikan pelaksanaan undang-undang dan peraturan pengezonan yang berkesan mengenai penggunaan tanah di dasar sungai bagi mengelak sebarang malapetaka seperti itu pada masa hadapan.

Terdahulu, Shehbaz diberi taklimat oleh pasukan Pusat Tindak Balas & Penyelarasan Banjir Kebangsaan (NFRCC) berhubung pelaksanaan strategi serampang tiga mata iaitu menyelamat, melegakan, dan pemulihan di negara itu, terutamanya di Sindh dan Balochistan.

Pusat Tindak Balas dan Penyelarasan Banjir Kebangsaan (NFRCC) itu ditubuhkan atas arahan Perdana Menteri untuk menyelaraskan usaha bantuan banjir jabatan persekutuan dan wilayah bagi menangani kerosakan yang disebabkan oleh bencana alam baru-baru ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: