Tempatan

Kecewa Perkembangan Politik Semasa, Agong Perkenan Bubar Parlimen

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2022 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di Istana Negara, semalam (9 Oktober 2022).

Dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula pada jam 12.00 tengah hari itu, YAB Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuatkuasa pada 10 Oktober 2022.

Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November 2022.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.

Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir.

 

Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: