Tempatan

Pakar Ekonomi Persoal Perbelanjaan MINDEF, 10 Tahun Kapal Belum Siap

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 06 Ogos 2022 – “Dah lebih 10 tahun. Dah belanja RM6 bilion. Satu kapal pun tak siap. Dahsyat!” kata Dr Nungsari Ahmad Radhi, pakar ekonomi.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir (end user) dalam program pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion.

Menurut laporan itu, ia adalah antara sebab berlakunya lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang dianugerahkan kepada BNS pada 2021.

Malah, PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada Kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

Mengikut jadual asal syarikat terbabit yang diberikan kontrak secara runding terus, ia sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada Kerajaan.

Kenyataan Dr Nungsari Ahmad Radhi yang juga merupakan bekas Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Bhd ini turut dipersetujui oleh pengguna media sosial lain.

“Audit forensik mesti dilakukan untuk melihat siapa sakau wang itu dengan penuh ketelusan. Maksud saya tanpa rasa gentar dan berpihak. Adakah mereka berani melakukannya?” kata seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi pengguna media sosial pula mahu penerima manfaat dalam isu ini didedahkan.

“Tolong dedahkan penerima manfaat. Kepentingan utama kepada negara kita.”

Mengulas mengenai isu ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan semua pemegang taruh akan meneliti laporan Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) secara terperinci dan mengambil kira syor yang dikemukakan dalam meneruskan projek Littoral Combatant Ship (LCS) selepas ini.

“Seperti dimaklumkan pada April lalu, Kabinet juga sudah bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak OEM dan vendor seterusnya memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).”

“Kerajaan juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (MOF) serta Ketua Setiausaha MINDEF.”

Berhubung kelemahan dan penyelewengan, Hishammuddin berkata, beliau konsisten menegaskan sesiapa yang bersalah tetap bersalah.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan dan ini bermakna pihak yang terbabit salah laku dalam projek sebelum ini tidak akan terlepas begitu saja.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: