Tempatan

Pahang Tetapkan Kadar Zakat Fitrah 2021 RM7

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PEKAN, 8 April 2021 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menetapkan kadar zakat fitrah negeri Pahang bagi tahun 1442H/2021M adalah sebanyak RM7.

Kadar tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Agama Islam bagi Negeri Pahang.

“Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang merebak di negeri ini, kaedah bayaran melalui 942 orang Amil Zakat Fitrah yang bertauliah akan dilaksanakan mengikut SOP yang disediakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain.

“Kaedah pembayaran Zakat Fitrah secara atas talian (online) adalah sangat digalakkan melalui capaian ezakat.muip.gov.my. dan aplikasi PahangGo.”

Mengenai garis panduan kepada amil dan penunai zakat, Datuk Ahmad Hairi Hussain menjelaskan, “Seramai 942 amil ditauliahkan ditempatkan di kaunter kutipan zakat dalam masjid dan tempat bersesuaian bermula selepas Subuh sehingga sebelum Maghrib.”

Dalam masa yang sama, sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.

Leave a Reply

Back to top button