Tempatan

Pahang Tersenarai Dalam Cadangan Tapak Pembinaan Pelancaran Roket

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 11 Disember 2023 – Pahang tersenarai dalam cadangan beberapa negeri yang bakal dibina tapak pelancaran roket dijangka bermula tiga tahun dari sekarang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pihaknya masih menunggu permohonan rasmi yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan, penyerahan kajian kebolehlaksanaan dan penilaian kesan alam sekitar (EIA) projek terbabit yang melibatkan kerjasama kerajaan negeri dan syarikat swasta.

Bagaimanapun, menurutnya, projek itu tidak membabitkan pengeluaran kos oleh Kerajaan Persekutuan namun hanya berperanan sebagai pengeluar lesen untuk operasi tapak sahaja.

“Dia orang sudah datang berjumpa dengan kami. Kalau tapak di Semenanjung Malaysia, dia kena di Pantai Timur sebab trajektori roket dari barat ke timur. Kalau di Pantai Barat, jika berlaku kemalangan akan jatuh di tempat ramai orang.”

“Jadi hanya boleh dibina di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Cadangan dibina di Terengganu dan Kelantan, setakat ini tidak ada. Yang menjadi pendahulu ialah Pahang dan Sabah serta ada juga beberapa negeri lain.”

Tambahan pula, beliau berkata, jika projek tersebut menjadi nyata, Malaysia bakal menjadi negara kesembilan di dunia yang mempunyai tapak pelancaran roket dengan pelbagai kelebihan ditawarkan termasuk bebas gempa bumi dan lokasi strategik berdekatan garisan khatulistiwa yang menjimatkan bahan api roket untuk ke orbit bumi.

Selain itu, industri baharu ini juga dijangka dapat menyelesaikan isu graduan bidang angkasa dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terpaksa bekerja di luar negara atau bekerja dalam bidang tiada kaitan dengan jurusan tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: