Tempatan

Pahang Sumbang RM30K Untuk Rakyat Malaysia Koma Di Korea Selatan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JERANTUT, 02 MAC 2022 – Kerajaan negeri Pahang memberi sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Kamarulzaman Mohd Fauzi @ Jazuli, 50, rakyat Malaysia yang kini koma di Korea Selatan untuk dibawa pulang dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Kamarulzaman merupakan rakyat Pahang dari Jerantut yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang tisu di Korea Selatan. Beliau mengalami koma selepas muntah dan pengsan di rumah sewanya disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepalanya.

Kini, beliau sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan.

Menurut Datuk Nazri Ngah, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang turut bersimpati dengan nasib mangsa dan akan membantu dari segi menampung kos pengurusan membawanya pulang ke tanah air serta diharapkan bantuan tersebut mencukupi untuk membayar tunggakan kos rawatan hospital di sana.

Bantuan ini diberikan setelah Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Damak membuat permohonan kepada kerajaan negeri baru-baru ini.

Nazri memaklumkan bahawa sumbangan tersebut akan disalurkan terus ke akaun sepupu Kamarulzaman, Solaha Adlan yang menjaganya di sana serta menguruskannya sepanjang perjalanan pulang.

Tambahnya, Kamarulzaman akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini pada jam 10.20 malam dan terus dibawa ke HoSHAS, Temerloh menaiki ambulans.

Sebelum ini, Kamarulzaman telah menerima bantuan sebanyak RM10,000 bagi membiayai kos perubatan di Korea Selatan.

Selain itu, sumbangan orang ramai setakat ini digunakan untuk membayar bil hospital sebanyak RM55,000 namun masih mempunyai tunggakan sebanyak RM66,000.

Leave a Reply

Back to top button