Tempatan

Pahang Sasar Lipis Sebagai UNESCO Global Geopark Menjelang 2026

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LIPIS, 21 Januari 2024 – Kerajaan Pahang menyasarkan Lipis diangkat sebagai UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu) Global Geopark menjelang 2026.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri sedang membuat persediaan dan perancangan ini dapat diteruskan sekiranya semua syarat dan kriteria yang diperlukan dapat dipenuhi.

“Pelaksanaan Lipis Geopark adalah selari dengan draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia 2024-2028, untuk menjadikan Pahang destinasi bertaraf dunia bagi pengiktirafan tapak berjenama UNESCO di bawah kategori Tapak Warisan Dunia (WHS), program Manusia dan Biosfera (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp).”

Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Majlis Pemasyhuran Lipis Sebagai Geopark Kebangsaan di Tree Top Walk Taman Negara, Sungai Relau, pada Khamis.

“Menerusi blueprint ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, telah merancang untuk membentuk strategi baharu pelancongan negeri dan membina persepsi awam mengenai keunikan dan keprihatinan untuk menjaga warisan.”

“Pengiktirafan ini tidak bermakna sebarang bentuk pembangunan tidak boleh dilaksanakan di daerah Lipis. Malah semua pembangunan seperti mana yang dirancang di daerah ini, masih boleh diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan pembangunan secara lestari,” tambahnya lagi.

Jelasnya, pembangunan secara lestari ini juga adalah selari dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, agar setiap projek pembangunan di Negeri Pahang Darul Makmur hendaklah dilaksanakan berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

Seputar info, daerah Lipis telah dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-11 berkuat kuasa pada 9 November lepas, iaitu setahun selepas kerajaan Pahang memulakan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.

Dengan pengiktirafan itu, kawasan Lipis Geopark seluas 5,408 kilometer persegi merupakan Geopark Kebangsaan termuda dan terbesar di Malaysia buat masa ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: