Tempatan

Pahang Luluskan Tambahan Kawasan Sebagai Hutan Simpanan Kekal Chini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PEKAN, 14 Disember 2021 – Sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kawasan lebih 2,000 hektar sebagai tambahan kepada kira-kira 4,600 hektar di sekitar Tasik Chini, diluluskan sebagai Hutan Simpanan Kekal Chini, kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, atas keprihatinan tinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku bersangkutan usaha mengutamakan, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, peluasan ini dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau UNESCO.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyatakan bahawa terbaru Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut meluluskan cadangan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri yang melibatkan sempadan Pahang dengan negeri-negeri berjiran iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

“Dengan ini, tanah Kerajaan di kawasan-kawasan sempadan terlibat seluas 557.585 hektar atau garis sempadan sepanjang 26.806 kilometer telah dikenalpasti untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.”

Sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga, jika terdapat sebarang cadangan pembangunan dalam jajaran 500 meter sempadan negeri, berkaitan Tanah Milik di kawasan terlibat, hendaklah dilakukan berdasarkan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), ujar Menteri Besar Pahang lagi.

YAB Menteri Besar Pahang menyampaikan berita tersebut ketika Persembahan Ucapan Ikrar Taat Setia Sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar , Pekan, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: