Tempatan

Pahang Beri Lebih Sejuta Baik Pulih Masjid & Surau Akibat Banjir

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PEKAN, 28 Januari 2022 – Kerajaan Negeri Pahang menyediakan sebanyak lebih RM1 juta peruntukan bagi membaik pulih 90 masjid dan surau yang terjejas akibat banjir di negeri itu.

“Peruntukan ini disediakan kerajaan negeri dengan kombinasi sumbangan daripada MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang), Majlis Agama Islam Pulau Pinang, NGO (badan bukan kerajaan) dan orang perseorangan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Ujarnya, terdapat sebahagian masjid dan surau yang terjejas sudah memulakan kerja-kerja baik pulih walaupun belum menerima peruntukan yang disediakan.

“Untuk makluman, tiada masjid yang terjejas itu tidak beroperasi, bahkan masjid yang paling teruk iaitu Masjid Karak Setia pun sudah boleh beroperasi seperti biasa.”

“Ada antara masjid yang dah pun buat kerja (baik pulih),” katanya seperti dilaporkan oleh Fikrah Pahang.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan peruntukan tersebut diagihkan mengikut kerosakan yang dialami setiap masjid dan surau.

“Ia diagihkan mengikut kerosakan dialami… ada yang banyak sehingga RM60,000 dan ada yang hanya mengalami sedikit kerosakan.”

“Hari ini kerajaan negeri menyerahkan peruntukan baik pulih ini kepada JAIP dan bermula 7 Ferbuari, JAIP akan bergerak ke Raub dan Bentong dan kawasan lain mengikut jadual yang sudah disusun,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Jubah dan Imamah serta Bantuan Khas Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Kediaman Menteri Besar Pahang, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda; Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali.

Sebanyak 44 masjid dan 46 surau di 10 daerah di Pahang terjejas dalam kejadian banjir penghujung 2021 iaitu di Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Muadzam Shah di Rompin yang membabitkan kerugian lebih RM2 juta.

Leave a Reply

Back to top button