Tempatan

Pahang Berada Di Tempat Kedua Pertumbuhan Ekonomi Peringkat Nasional

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 05 Julai 2024 – Pahang berada di tempat kedua dalam senarai empat buah negeri yang mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional bagi prestasi ekonomi iaitu sebanyak 5.2 peratus.

Melalui kenyataan media Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2023 yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi ekonomi Pahang dan dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan seperti Selangor dan Johor.

“Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, ‘Bagi prestasi ekonomi mengikut negeri, empat negeri mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional iaitu Selangor yang berkembang 5.4 peratus, Pahang 5.2 peratus, Johor 4.1 peratus dan W.P. Kuala Lumpur 3.7 peratus.”

“Namun demikian, Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama, menyumbang 67.7 peratus kepada ekonomi Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.

Pengembangan sektor perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus di negeri ini disokong oleh perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan.

“Manakala di Pahang, pertumbuhan 6.7 peratus bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik telah menyumbang kenaikan 2.1 peratus bagi sektor pembuatan negeri ini,” katanya.

Statistik ini merupakan susulan daripada KDNK peringkat nasional yang telah dikeluarkan pada 17 Mei 2024, di mana pada 2023, ekonomi Malaysia berkembang sederhana dengan semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif yang menggalakkan.

“Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.6 peratus pada tahun 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM1.6 trilion. Sektor Perkhidmatan kekal mendominasi ekonomi negara dengan sumbangan 59.2 peratus, meningkat 5.1 peratus berbanding tahun 2022.”

“Pada tempoh sama, sektor Pembuatan yang merupakan penyumbang kedua terbesar KDNK meningkat secara marginal iaitu 0.7 peratus. Sektor Pertanian dan sektor Perlombongan dan pengkuarian juga berkembang perlahan masing-masing 0.7 peratus dan 0.5 peratus. Sektor Pembinaan sebaliknya mengekalkan momentum untuk terus berkembang kepada 6.1 peratus,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: