Pahang Benarkan 100 Jemaah Tunai Solat Jumaat Di Masjid Negeri dan Daerah
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUANTAN, 01 Julai 2021 – Seramai 100 jemaah dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid negeri dan masjid daerah di Pahang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali.
Perkara ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tambahnya, bagi masjid kariah, hanya 50 orang jemaah dibenarkan manakala surau kebenaran Jumaat pula dihadkan kepada 12 orang jemaah sahaja untuk solat Jumaat.
“Bagi solat fardu, hanya 12 jemaah dibenarkan di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau.”
“Bagaimanapun, pengurusan masjid dan surau boleh mengemukakan permohonan penambahan jumlah jemaah untuk solat Jumaat dan fardu,” kata beliau lagi.
Bagi kawasan PKPD, hanya 12 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat. Tetapi digalakkan menunaikan solat Zohor sebagai langkah berhati-hati (ihtiati) keluar dari khilaf.”
Selain itu, mengakhiri kenyataan, Zulkifle menegaskan, bukan warganegara Malaysia, bukan ahli kariah, individu bergejala, imam dan khatib dari luar Pahang tidak dibenarkan menunaikan solat jemaah di Pahang bagi menyekat penularan wabak COVID-19.