Tempatan

Pahang Bakal Tubuhkan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang – Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUANTAN, 9 Julai 2021 – Kerajaan Negeri Pahang sedang dalam proses menubuhkan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang yang fungsinya antara lain bagi memastikan biodiversiti – kepelbagaian hidupan biologi; sentiasa terpelihara di Negeri Pahang, kata Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.

“Kerajaan Negeri menjunjung tinggi titah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai Inisiatif Sempadan Hijau Negeri Pahang dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.”

Susulan titah ini, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menyatakan, kerajaan Negeri Pahang akan segera bertindak bagi merealisasikannya termasuk membuat segala urusan diperlukan ke arah mewartakan sebahagian besar kawasan sempadan negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Manakala kawasan yang meliputi tanah milik dibangunkan secara lestari selaras dengan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG; Environmental, Social & Governance).

“Mengenai Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini, Kerajaan Negeri akan menyegerakan kerja-kerja pemuliharaannya dengan penanaman pokok-pokok bersesuaian, sepertimana yang turut dititahkan.”

“Titah Baginda amat wajar dan tepat sekali yang membuktikan keprihatinan Baginda, demi memastikan alam sekitar Negeri Pahang termasuk di kawasan-kawasan yang bersempadan dengan negeri-negeri jiran, terus terpelihara,” kata Dato’ Sri Haji Wan Rosdy.

Leave a Reply

Back to top button